Sejarah Penubuhan Daerah Setiu

Ditulis pada .

Setiu merupakan sebuah daerah bongsu daripada tujuh daerah di dalam Negeri Terengganu Darul Iman. Ditubuhkan hasil daripada perakuan Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU) pada 1 Januari 1985.

     Daerah baru ini mempunyai keluasan 135,905.80 hektar. Merupakan 10.49% daripada keseluruhan keluasan Negeri Terengganu Darul Iman. Bersempadan dengan Daerah Kuala Terengganu, Hulu Terengganu dan Besut. Terbahagi kepada tujuh buah mukim iaitu;-

  • Mukim Hulu Nerus - 54,523.30 hektar
  • Mukim Calok - 20,589.60 hektar
  • Mukim Hulu Setiu - 23,292.90 hektar
  • Mukim Guntung - 16,348.50 hektar
  • Mukim Tasik - 5,827.10 hektar
  • Mukim Pantai - 8,499.40 hektar
  • Mukim Merang - 6,825.00 hektar

     Dalam tahun 1980 Kerajaan Negeri telah meminta MAMPU supaya membuat kajian kemungkinan kekesanan sempadan daerah Negeri Terengganu. Hasil kajian tersebut Kerajaan Negeri telah bersetuju menubuhkan Daerah Setiu pada 1hb. Januari, 1985 dimana sebahagian daripada mukim-mukim dari Daerah Kuala Terengganu dan Besut dimasukkan ke Daerah Setiu.

     1 Januari 1985, adalah satu lagi tarikh bersejarah bagi penduduk negeri Terengganu, apabila sebuah lagi daerah baru yang dikenali sebagai Daerah Setiu ditubuhkan oleh Kerajaan Negeri Terengganu. Kewujudan Daerah Setiu ini telah meletakkan Negeri Terengganu kepada tujuh daerah iaitu Daerah Kuala Terengganu, Kemaman, Marang, Dungun, Besut, Hulu Terengganu dan Setiu. 

     Daerah Setiu merangkumi 7 mukim di bawah pentadbiran seorang Pegawai Daerah mempunyai keluasan 130,477.36 hektar dengan jumlah penduduknya seramai 33,000 orang mengikut banci 1980. Mukim-mukim yang terdapat di dalam Daerah Setiu ialah Chalok, Tasik, Hulu Setiu, Guntung dan Pantai dari Daerah Besut, Merang dan Hulu Nerus dari Daerah Kuala Terengganu.

     Terbitnya nama Setiu adalah berasal daripada nama seorang pahlawan Bugis. Peperangan antara Belanda dengan Bugis telah berlaku dalam tahun 1770an. Dalam peperangan tersebut pihak Belanda telah mendapat kemenangan. Dengan kekalahan Bugis ini menyebabkan ramai orang-orang Bugis lari meninggalkan negeri mereka. Antara orang-orang Bugis tersebut termasuklah Tok Setiu. Tok Setiu merupakan seorang Panglima Raja Bugis. Antara faktor yang menyebabkan beliau lari selain daripada kalah berperang ialah kerana beliau tidak mahu hidup bertuankan Belanda. Setelah beberapa lama belayar Tok Setiu dan orang-orangnya pun tiba di Terengganu. Negeri Terengganu pada masa itu di bawah pemerintahan Sultan Ahmad II iaitu Sultan Terengganu yang ke-X (1875 hingga 1881).

     Apabila Tok Setiu mendarat ke Terengganu, beliau pun menemui baginda Sultan Ahmad II untuk memohon menumpang tinggal di Terengganu, beliau menceritakan perihal kedatangannya dan segala pahit maung semasa dalam pelayaran.

  Baginda Sultan Ahmad II telah bersetuju dan perkenankan permohonan Tok Setiu dan orang-orangnya. Lalu Baginda titahkan kepada Tok Setiu supaya mencari tempat yang sesuai utnuk dibuat perkampungan.

     Setelah meninjau kawasan-kaeasan di Negeri Terengganu, beliau telah memilih sebuah tempat dan dinamakan Kampung Bukit Tok Setiu. Disinilah tempat Tok Setiu dan orang-orangnya berkampung dan menjalankan kerja-kerja harian mereka.

     Pada peringkat awal pendudukan Tok Setiu di Kampung Bukit Setiu, beliau telah dilantik sebagai Ketua Kampung. Dalam pada inilah Tok Setiu mendapat tentangan daripada Tok Itam dan orang-orangnya kerana berebut satu kawasan. Oleh kerana tidak mendapat kata sepakat dan tolak ansur antara mereka berdua, lalu berlakulah peperangan yang amat hebat selama 7 hari 7 malam. Dalam peperangan tersebut pihak Tok Setiu hampir menerima kekalahan.

      Memandangkan hal yang demikianlah Tok Setiu memohon bantuan daripada Tok Serban Kuning dari Mukim Batu Bertindan, Bukit Mahsuri. Dengan bantuan yang diberikan oleh Tok Serban Kuning maka pihak Tok Itam telah mengalami kekalahan. Kemenangan Tok Setiu telah mengukuhkan lagi kedudukanya sebagai Ketua di Kampungnya dan menyebabkan pengaruh beliau semakin kuat dan pengikutnya bertambah ramai.